KAMPUNG MORTEN, MELAKA
PETANG yang
disangka tenang tetapi berubah dalam sesaat. Kepulangan abang dan kakak memberi
kesan hiba kepada Othman dan ibunya. Hati mereka tidak tenteram. Othman cuba
mempelawa abang dan kakaknya untuk naik ke atas rumah tetapi Otman menolak
secara terang-terangan. Mereka mengatakan bahawa rumah itu milik Othman dan
mereka tidak mahu memijak langsung. Othman dengan berat hati turun ke bawah
mendengar keluh kesah mereka berempat.
“Usaha kita adik-beradik seakan
hampir hancur musnah. Bersungguh-sungguh abah kita perlihara tanah pusaka ini.
Abang dan kakak senang-senang nak jual begitu sahaja.” Rayu Othman ketika
mereka adik-beradik bertemu di hadapan rumah pusaka arwah ayah mereka. Othman
sebagai anak bongsu di dalam keluarga, dia menjadi tempat adik-beradiknya
meluahkan rasa dan kadangkala tempat melepaskan amarah.
“Engkau mana tahu. Aku sedang dalam
kesusahan.” Jawab abang sulung Othman. Othman hanya duduk di sebelah ibu sambil
mengusap lembut bahu ibu. Dia merasakan tertekan apabila masalah sebegini
berlaku. Ibu hanya mendengar mereka menjawab-jawab antara satu sama lain.
Mereka tetap dengan keputusan mereka dan Othman juga begitu.
“Sudahlah anak-anak. Janganlah harta
sekangkang kera hujung kampung sana yang kau sibukkan. Lebih baik kamu risaukan perkara lain.” Ibu
menangis dalam kata-katanya.
“Man, kau bolehlah seronok duduk di
kampung. Abang ada masalah. Anak-anak abang semuanya nak belajar tinggi.” Abang
sulung Othman menjelaskan apa yang sedang dia rasa sekarang. Kesempitan hidup
di kota memberi seribu satu masalah kepada mereka sekeluarga.
Othman membuang pandangan yang lesu.
Dia masih belum ada jawapan untuk pertanyaan itu. Ibu cuba untuk bangun tetapi
lambat. Othman membantu ibu untuk bangun tetapi ibu menolak. Ada kesan airmata
yang berbekas di wajah ibu. Adik-beradik Othman duduk di bawah dengan wajah
yang sebal. Mereka seakan tidak memahami kesan airmata ibunya itu.
“Abang. Bukan mudah untuk kita
berada di tahap ini. Ingat semula bagaimana arwah ayah bergolok gadai membesarkan
kita dengan melakukan apa sahaja kerja. Semudah itu abang mahu lupakan?” Tanya
Othman kembali. Kini semangat Othman hanya ibu sahaja !
Petang itu hujan kembali lebat.
Pancaran matahari hilang perlahan-lahan.
Abang sulung Othman bernama Zainal
sudah berkeluarga dan mempunyai empat
orang anak yang masih kecil dan kakak kedua Othman bernama Zaiton sudah
berkeluarga dan memiliki dua orang anak. Ketiga adalah kakak Othman yang baru
sahaja berkahwin dan bongsu adalah Othman sudah bekerja di kawasan kampung.
Beliau ditugaskan menjaga ibunya yang sudah berusia di rumah. Othman tidak
membantah kerana semenjak dia tamat zaman persekolahan dia sudah ditugaskan
oleh ayahnya untuk menjaga ibunya sehingga ke akhir hayat. Sejak dari situ,
adik-beradiknya mengelarkan dia anak kesayangan ibunya.
Selepas beberapa jam mereka berbual,
namun masih belum ada kepastian yang sebenarnya. Ibu sudah terlena di sofa
ruang tengah rumah. Rumah melayu Melaka dihias dengan indah namun lain pula
yang akan berlaku. Umpama segala yang ibu dan arwah abah lakukan itu seperti
tiada apa-apa. Umpama mencurah air ke daun keladi. Othman masuk ke dalam
biliknya, ditatap kembali potret dimana pada hari raya mereka pertama kali di
rumah itu. semuanya tampak mempersona dan gembira. Baju raya yang kesemuanya
ibu jahit sendiri dan rumah baru yang baru mereka duduki nampak semuanya
meriah.
Beberapa tahun
yang lalu…
“Along,
cepat dukung adik tu dia dah lari ke tempat lain tu.” Panggil ibu tatkala
mereka sudah bersedia di tempat mengambil gambar depan halaman rumahnya.
Selepas
beberapa keping gambar di ambil, mereka semua bangun dan menuju dapur rumah.
Kata abah, tiba waktu makan semuanya sudah tidak sabar untuk menikmatinya.
Lebih lagi, setiap kali menjelang hari raya ibu akan menyediakan makanan
kegemaran kami semua iaitu sambal ayam dan kuah kacang. Walaupun dimakan setiap
hari, namun kami tetap menginginkannya.
Kata-kata yang arwah abah tulis di
belakang gambar mengingatkan Othman betapa arwah abah sangat mengingati segala
peristiwa yang berlaku pada hari itu. Potret ibu yang sedang memasak juga
sempat diambil dan disimpan di dalam album yang ditulis Hari Raya. Kakak kedua
pula ketika itu sedang mengandung anak kedua juga menolong bersama-sama. Suasana
malam raya juga memberikan kenangan kepada Othman.
“Abang dan kakak akan balik dahulu.
Jangan ingat bila kami pulang ke sana dah takkan pulang ke sini ya. Keputusan
kami tetap sama.” Ulang abang sulung Othman berulang kali. Dia menundukkan
wajah. Ibu pula baru sahaja membuka telekung tidak mampu berbuat apa-apa.
Othman mengangguk dan menghulurkan
tangan untuk bersalam dengan abang dan kakaknya. Tiada kata yang mampu diungkap
kembali. Hanya segaris senyuman pahit menghantar mereka pulang. Selepas
menghantar mereka pulang, Othman pergi ke dapur dan bersiap-siapkan meja untuk
makan malam bersama ibu dan abang ketiganya.
“Samsudin. Mari makan. Adik kamu dah
siap sedia makanan. Nanti sejuk pula.”Panggil ibu ketika melihat Othman sedang
menyenduk nasi.
“Ibu, tadi Din bertembung dengan Pak
Ali. Dia beritahu dua bulan akan datang, anak dia nak kahwin. Dia jemput kita
semua pergi kenduri kahwin.” Tutur Samsudin.
Ibu menanggukkan kepala dan meminta
Othman menambahkan lagi nasi.
“Alhamdulillah dah lama tak tengok
ibu tambah nasi dua kali. Sedap ke saya masak lauk hari ini bu?” Tanya Othman
kembali.
“Mestilah sedap. Lauk kegemaran ibu
asam pedas daging tetel. Ada pula sambal belacan dengan ulam-ulaman. Din,
tambah nasi lagi. Adik kau memang pandai masak. Kau duduk bujang di Johor ada
masak ke atau kau beli di luar saja?” Ibu bertanya lalu mengambil kain pengelap
tangan.
“Kadang-kadang masak dan
kadang-kadang beli di luar saja. Kerja mak, mana ada masa nak masak selalu.
Tapi kalau balik rumah dapat rasa lauk emak mesti sedap.” Samsudin memandang ke
arah emaknya dengan wajah meminta.
Ibu tersenyum dan menuju ke sinki
tetapi dihalang Othman kerana dia tahu ibunya mahu membasuh segala pinggan
mangkuk yang digunakan tadi untuk memasak. Othman mengemas segala atas meja
sebelum naik ke ruang berehat. Abangnya sudah membawa dulang yang terisi seteko
kopi dan sepiring biskut kering untuk dinikmati bersama-sama.
“Ibu, sepanjang ibu dan Man saja di
rumah ada ke orang yang cuba-cuba untuk ganggu ketenteraman tak?” Tanya
Samsudin secara tiba-tiba.
“Tiada pula. Lagipun Man kan ada.
Setiap malam sebelum Man tidur dia akan pastikan semua pintu berkunci dan tingkap
juga. Kenapa pula kamu tanya ni Din?” Tanya ibu kembali sambil menuang air kopi
ke dalam cawannya.
Samsudin mengangguk kembali. Sewaktu
mengambil angin petang selepas menikmati minum petang di kedai hujung kampung,
Samsudin berjalan sekeliling kampung. Samsudin bertemu dengan Pak Ali, lalu Pak
Ali memanggil untuk menaiki motor bersama-sama. Pada awalnya Samsudin memilih
untuk menolak tetapi setelah diajak berulang kali dia mengalah.
“Rumah hujung kampung sana dah
dimasuki pencuri. Pak Ali risau.” Pak Ali memulakan bicara apabila mereka
sampai di hadapan rumah. Othman yang ke bandar masih belum pulang. Ibu di dalam
rumah sendirian dengan pantas Samsudin menaiki ke atas rumah untuk mendapati
ibunya selamat di dalam rumah. Syukur, ibu baru selesai menunaikan solat Asar.
Samsudin kembali turun ke halaman
rumahnya. Kelihatan Pak Ali sedang duduk di tangga Melaka. Tangga Melaka yang
menjadi satu kewajiban jika sesebuah keluarga itu membina sebuah rumah. Tidak
kira rumah moden atau rumah tradisional. Sebuah perhiasan rumah yang telah
menjadi kepentingan di dalam sebuah pembinaan rumah. Kecantikkan sebuah rumah
melayu Melaka ada ukiran di sekeliling dinding dan juga tangga.
“Din, rumah kau yang depan ini masa
arwah abah kau buat ke kau baru buat?” Tanya Pak Ali lalu bangun dan berjalan
ke sebelah kanan.
“Rumah lama Pak Ali. Arwah abah
tinggalkan rumah ni dalam keadaan baru lagi.”
Jawab Samsudin
dan mengikut Pak Ali ke belakang.
“Kau tahu kenapa rumah melayu Melaka
ada ciri-ciri yang istimewa?”
Samsudin kehairanan memandang ke
arah Pak Ali. Hal ini kerana, semasa dia baru sampai di halaman rumah mereka
berbincang hal lain dan kali ini berbincang hal lain. Dek kerana tidak mahu
membuat Pak Ali tersinggung, dia segera mengikut Pak Ali ke bahagian belakang
rumah.
“Sebab ada tiang dan tangga Melaka
yang unik kan?” Jawab Samsudin dengan bersungguh-sungguh.
“Din ohh Din…” Panggil ibu dari
ruang dapur rumahnya. Dia terus masuk ke dalam rumah.
“Ya ibu.” Di dalam fikiran Samsudin
yang ada apa-apa berlaku rupanya ibu sudah menyediakan air untuk diminum
bersama-sama dengan Pak Ali.
Othman pulang dari Melaka. Dia hanya
berjalan kaki untuk sampai ke bandar Melaka. di tangannya menjinjit dua buah
beg plastik berwarna merah pekat. Othman masuk ke ruang dapur dan terkejut
apabila terlihat Pak Ali sedang duduk bersama-sama. Selepas itu dia ikut serta
dengan mereka. Dia mengeluarkan mee rojak yang dibeli dari kedai makan di
Kampung Jawa.
“Makanlah Pak Ali. Saya beli di
kedai makan kesukaan saya. Saya sudah jamah di sana. Dah rezeki Pak Ali untuk
rasa.” Panggil Othman dan menyuakan pinggan kecil kepada Pak Ali.
“Ini makanan kegemaran Pak Ali.
Kalau setiap kali pergi ke Kampung Jawa teman isteri Pak Ali membeli emas mesti
singgah di sini. Namun, sejak ada masalah duit kami sudah jarang ke sana.” Ujar
Pak Ali lalu menghabiskan sepinggan mee rojak lalu meneguk air kopi yang masih
bersisa. Othman dan Samsudin hanya memandang ragam Pak Ali.
“Along, kalau betullah Othman tidak
mahu menjual tanah di hujung kampung macam mana? Mana nak dapat duit? Anak-anak
saya nak masuk sekolah tahun depan.” Beritahu Zaiton ketika mereka berdua berjumpa
di sebuah restoran berdekatan rumah mereka.
“Along tahu. Sebab itu kita kena
paksa juga mereka segera jual tanah itu. Tambahan lagi, Tauke Lim sudah
bersungguh mahukan tanah tersebut. Katanya mahu naikkan bangunan tinggi.”
Terang Zainal sambil menyedut air milo ais sehingga habis.
Zaiton membetulkan tudungnya yang
sedikit senget itu dengan cermat. Bekerja sebagai seorang kerani menjadikan dia
harus bergaya dengan lebih kemas. Di dalam beg tangannya telah terisi buku nota
berwarna coklat. Dicapainya dengan cermat. Lalu dia mengambil sekeping kad
berwarna kuning dan diberikan kepada Zainal.
“Ini kad Encik Zaid. Dia juga boleh
menguruskan hal jual beli tanah kita. Kalau abang berminat dia boleh berikan
segala nasihat dalam urusan pembelian. Kalau along rasa kita perlu ada khidmat
nasihat, telefonlah dia.” Zaiton memberikan kepada Zainal. Dia membaca dan
menyimpan di dalam poket baju kemeja yang berwarna hitam itu.
Mereka bersurai tepat jam 2 petang.
Di pejabat, Zainal tertanya-tanya apakah jalan bertemu dengan khidmat nasihat
ini akan memberikan keuntungan kepada dia? Dia berfikir sejenak sehingga tidak
sedar di hadapannya ada seseorang yang sedang menunggunya. Kawan pejabatnya
datang dan mengajak dia ke bilik mesyuarat. Tidak sempat berbuat apa-apa dia
terus mencapai buku nota dan juga sebatang pen berwarna hitam di atas mejanya.
“Ibu. Kalau Man tanya nanti adakah
ibu akan marah atau terasa hati dengan Man?” Tanya Othman ketika dia sedang
menemani ibunya di halaman rumah. Kawasan Kampung Morten yang majoritinya orang
melayu. Di setiap halaman rumah mereka akan dihiasi taman bunga miliknya
sendiri. Ibu sangat menyukai menanam bunga orkid, ibu kata bunga orkid bunga
yang segar dan sangat susah mahu dijumpai.
“Apa dia Man? Risau ibu dengarkan
pertanyaan kamu. Cakap saja.” Jawab ibu lalu menggunting pokok-pokok yang
menjadi pokok tumpangan dalam kawasan pasu.
“Kalau kami semua setuju untuk
jualkan tanah hujung kampung sana macam mana?” Tanya Othman dengan
perlahan-lahan.
Ibu terkejut. Gunting pokok ibu
terjatuh ke tanah. Othman menundukkan wajah. Dia hilang kata untuk bertanya
lagi. Langit mendung. Awan berarak perlahan-lahan. Namun, jantung Othman
berdegup kencang menantikan jawapan yang akan diberikan oleh ibu.
“Man. Mana pendirian Man selama ini?
Ibu hanya bergantung harap pada Man untuk menyokong usaha yang arwah abah selama
ini. Tapi.” Ibu tidak menghabiskan ayatnya.
“Ibu. Maafkan Man. Man hanya
bertanya. Kalau ibu betul tak nak kami jual, kami akan pertahankan.” Othman
mendekati ibu dan memeluk bahu ibu.
Ibu menganggukkan kepala tanda
memahami apa yang disampaikan oleh Othman. Ibu mengemas dan menyusun pokok
dengan cermat. Pokok-pokok bunga ini, adalah hasil dari tanaman arwah suaminya.
Ibu hanya menguruskan kesemuanya. Dari segi penjagaan baja pokok dan penyiraman
setiap hari. Othman akan selalu ke bandar untuk mencari baja-baja pokok yang
sesuai untuk memastikan pokok itu hidup dengan suburnya.
“Salah satu sebab kakak mahu tanah
di hujung kampung itu jual adalah untuk tidak menyusahkan Man pergi
menjenguknya setiap hari. Mesti Man penat nak kena bersusah-payah.” Pujuk
Zaiton lalu menghirup air kopi susu yang dibuat oleh Othman.
Othman menggelengkan kepala. Ibu
memandang Othman di hadapannya.
“Kakak, tentang hal menjaga tanah
itu bukan satu masalah yang besar. Othman sendiri selama ini menjaga segala apa
sahaja yang milik keluarga kita. Isu mengemas atau membersihkan tanaman di
kebun itu telah siap sedia Man fikirkan” Othman menunggu kata-kata yang muncul
dari mulut kakaknya. Dia tahu kakaknya akan memberi hujahan yang seterusnya.
Dia sangat mengenali kakaknya bagaimana. Seorang yang takkan mengalah dan cuba
melakukan apa sahaja yang diinginkan.
“Apa rancangan Man? Mahu kekalkan
semak samun di kawasan tanah itu?” Hal itu masih berterusan. Kakak masih dengan
pendiriannya untuk mengatakan bahawa Othman akan merasa penat dan segala urusan
menjaga akan lepas begitu sahaja selepas tanah tersebut sudah terjual.
“Ibu juga termasuk dalam pemilikan
tanah tersebut. Maka, dipihak ibu masih kekal untuk mengatakan tidak untuk
menjual kepada Tauke Lim. Zaiton, usaha arwah abah begitu sahaja kamu lupakan.
Tanpa menghargai satu apa pun?” Ibu bertanya kembali. Zaiton kekal dengan
jiwanya yang suka memberontak.
“Lagipun saya tengok Kampung Morten
tak ada keistimewaan. Sama sahaja dengan kampung yang lain. Lagipun tanah arwah
abah itu di hujung kampung.” Ujar Zaiton lalu bangun menuju ke tingkap untuk
memerhatikan di kawasan sekeliling rumah itu.
“Ibu, sementara ada mahu beli. Jual
sahajalah. Kenapa nak tahan-tahan lagi? Kami ni perlukan duit nak bantu
anak-anak kami belajar. Ibu pun mesti perlu keluar duit kan?” Tanya Zaiton
dengan suara yang nyaring.
“Zaiton!” Ibu menempik Zaiton.
Zaiton terkejut lalu menoleh kepada ibunya.
“Tidak pernah sekali kamu bersikap
sebegini. Hanya kerana sebidang tanah yang tidak seberapa itu kamu sanggup
meninggikan suara?”
Othman dan ibu berlalu meninggalkan
Zaiton di ruang tamu. Mereka sudah habis kata sudah penat berbicara. Jalan
terbaik untuk sebuah perbincangan yang tiada kesudahan adalah meninggalkan
kawasan perbincangan dan menunggu pertemuan yang seterusnya.
“Kakak, Man dah tetapkan untuk
pertemuan kita satu keluarga adalah pada tarikh 20 Mei 2015. Man harap waktu
itu kakak, abang long dan abang lang ada untuk selesaikan kemelut yang
membelenggu diri kita semua.” Othman menghabiskan ayat dan seraya itu dia
keluar dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat Mahgrib dan Isyak
berjemaah. Samsudin menaiki motor bersama-sama. Menghulurkan tangan kepada ibu
dan kakak langsung berlepas pergi.
20 Mei 2015.
Hari Sabtu.
Sebelum pulang ke bandar, Zaiton
menghulurkan tangan kepada ibunya. Tangannya disambut, namun ibu langsung tidak
memberikan pandangan kepadanya. Terdetik rasa di hati Othman bahawa ibu
benar-benar merasakan sangat jauh hati dengan kelakuan dan kedegilan Zaiton
pada hari itu. Zainal hanya mendiamkan diri dan berdiri di sudut paling sempit.
Samsudin di tangga rumah merenung hiba.
Majlis perkahwinan anak Pak Ali
meriah. Ditambah lagi dengan kemeriahan orang kampung bekerja keras menolong
apa yang perlu. Lembaga Kampung sudah menetapkan seseorang itu harus melakukan
kerja apa sehingga selesai. Kerjasama antara semua orang menjadikan sebuah
majlis itu tampak tersusun dan kemas. Tambahan lagi dengan adanya ahli
jawatankuasa itu memberi kesenangan kepada mereka semua melakukan tugas
masing-masing.
Zaiton dan Zainal pulang ke kampung
bersama-sama dengan harapan yang membara. Dia dijemput untuk meraikan majlis
perkahwinan anak Pak Ali sedangkan dia tidak mengetahui akan hal itu. kelihatan
Othman dan Samsudin berpakaian baju pagoda warna putih serta helaian kain
pelikat yang diikat di kepalanya. Mereka terkejut. Mereka tidak menyangka
selama ini keharmonian seluruh penduduk kampung ini masih kekal. Di zaman sekarang,
keharmonian sesebuah di dalam kampung ini amatlah susah untuk dilihat. Zaiton
dan Zainal segera menghabiskan makanan dan pergi berjumpa dengan ibu di kawasan
beranda rumah Pak Ali.
Kumpulan kendarat yang ditubuhkan
oleh Hajjah Enchum bt Haji Mahmud telah menguasai seluruh kawasan dapur. Mereka
memulakan kerja memasak dan mengemas sejak dari pukul 8 pagi sehingga majlis
selesai. Makcik Leha ditugaskan sebagai ketua kepada kumpulan kendarat dan
Marhaban ini telah menjalankan tugas dengan baik sekali tanpa ada cacat
celanya. Pak Ali tersenyum puas apabila majlis ini mampu merapatkan hubungan
yang dahulu pernah terputus akhirnya bersambung kembali.
“Jumpa ibu di rumah ya. Kamu semua
baliklah dulu.” Mereka menganggukkan kepala dan berlalu pergi.
“Kak ngah, kamu kata kampung ini dah
tiada harapan untuk maju dalam keharmonian. Tengoklah tadi, kita yang baru
pulang pun dijemput untuk meraikan makan bersama-sama.” Tegur Zainal sebelum
menaiki ke beranda rumah. Rumah berkunci dan mereka tiada kunci untuk dibuka. Othman
dan Samsudin balik ke rumah dengan berjalan kaki. Ibu masih di sana. Ibu harus
menunggu majlisnya selesai.
“Man dan Din memang ahli
jawatankuasa kampung ke?” Tanya Zaiton secara tiba-tiba. Ketika itu Man dan Din
sudah bersiap sedia dengan keputusan mereka. Serta keputusan ibu yang
dibincangkan semalam.
“Aah kak. Lagipun, siapa lagi yang
nak uruskan semua kalau bukan anak-anak muda ini. Penduduk Kampung Morten
semuanya dah berumur kak, sebab itu mereka kekurangan orang muda. Kerja-kerja
yang mereka perlu lakukan semuanya berat.” Balas Samsudin lagi.
“Kenapa selama ini akak tak pernah
tahu pun mengenai kesepakatan yang ada di dalam Kampung Morten ini?” Tanya
Zaiton kembali.
“Sebab selama ini akak hanya
risaukan tanah arwah abah.” Balas Othman tanpa dia sedar.
Wajah Zaiton berubah. Dari senyuman
yang dia lemparkan kepada semua orang kini wajahnya berubah masam mencuka. Dia
menyedari akan perubahan itu segera
Ibu pulang ke rumah. Othman sudah
mengeluarkan geran tanah yang masih di dalam simpanan dia. Samsudin sudah
berhenti kerja di Johor Bharu. Dia mahu membantu Othman menguruskan kerja-kerja
di Melaka sahaja. Terlalu banyak kerja yang masih belum selesai di Melaka.
Tauke Lim pulang selepas mendengar
perbualan antara Zaiton dan Zainal di depan tanah tersebut. Zainal kusut dan
dia meraup muka dengan tenang. Zaiton pula tersenyum dan membalas pandangan
Tauke Lim. Mereka pulang dan membawa haluan masing-masing.
Oleh : Zaty Dean