Thursday 19 April 2018

CAHAYA KAMPUNG MORTEN,MELAKA


KAMPUNG MORTEN, MELAKA


PETANG yang disangka tenang tetapi berubah dalam sesaat. Kepulangan abang dan kakak memberi kesan hiba kepada Othman dan ibunya. Hati mereka tidak tenteram. Othman cuba mempelawa abang dan kakaknya untuk naik ke atas rumah tetapi Otman menolak secara terang-terangan. Mereka mengatakan bahawa rumah itu milik Othman dan mereka tidak mahu memijak langsung. Othman dengan berat hati turun ke bawah mendengar keluh kesah mereka berempat.
            “Usaha kita adik-beradik seakan hampir hancur musnah. Bersungguh-sungguh abah kita perlihara tanah pusaka ini. Abang dan kakak senang-senang nak jual begitu sahaja.” Rayu Othman ketika mereka adik-beradik bertemu di hadapan rumah pusaka arwah ayah mereka. Othman sebagai anak bongsu di dalam keluarga, dia menjadi tempat adik-beradiknya meluahkan rasa dan kadangkala tempat melepaskan amarah.
            “Engkau mana tahu. Aku sedang dalam kesusahan.” Jawab abang sulung Othman. Othman hanya duduk di sebelah ibu sambil mengusap lembut bahu ibu. Dia merasakan tertekan apabila masalah sebegini berlaku. Ibu hanya mendengar mereka menjawab-jawab antara satu sama lain. Mereka tetap dengan keputusan mereka dan Othman juga begitu.
            “Sudahlah anak-anak. Janganlah harta sekangkang kera hujung kampung sana yang kau sibukkan.  Lebih baik kamu risaukan perkara lain.” Ibu menangis dalam kata-katanya.
            “Man, kau bolehlah seronok duduk di kampung. Abang ada masalah. Anak-anak abang semuanya nak belajar tinggi.” Abang sulung Othman menjelaskan apa yang sedang dia rasa sekarang. Kesempitan hidup di kota memberi seribu satu masalah kepada mereka sekeluarga.
            Othman membuang pandangan yang lesu. Dia masih belum ada jawapan untuk pertanyaan itu. Ibu cuba untuk bangun tetapi lambat. Othman membantu ibu untuk bangun tetapi ibu menolak. Ada kesan airmata yang berbekas di wajah ibu. Adik-beradik Othman duduk di bawah dengan wajah yang sebal. Mereka seakan tidak memahami kesan airmata ibunya itu.
            “Abang. Bukan mudah untuk kita berada di tahap ini. Ingat semula bagaimana arwah ayah bergolok gadai membesarkan kita dengan melakukan apa sahaja kerja. Semudah itu abang mahu lupakan?” Tanya Othman kembali. Kini semangat Othman hanya ibu sahaja !     
            Petang itu hujan kembali lebat. Pancaran matahari hilang perlahan-lahan.
            Abang sulung Othman bernama Zainal sudah berkeluarga dan mempunyai  empat orang anak yang masih kecil dan kakak kedua Othman bernama Zaiton sudah berkeluarga dan memiliki dua orang anak. Ketiga adalah kakak Othman yang baru sahaja berkahwin dan bongsu adalah Othman sudah bekerja di kawasan kampung. Beliau ditugaskan menjaga ibunya yang sudah berusia di rumah. Othman tidak membantah kerana semenjak dia tamat zaman persekolahan dia sudah ditugaskan oleh ayahnya untuk menjaga ibunya sehingga ke akhir hayat. Sejak dari situ, adik-beradiknya mengelarkan dia anak kesayangan ibunya.
            Selepas beberapa jam mereka berbual, namun masih belum ada kepastian yang sebenarnya. Ibu sudah terlena di sofa ruang tengah rumah. Rumah melayu Melaka dihias dengan indah namun lain pula yang akan berlaku. Umpama segala yang ibu dan arwah abah lakukan itu seperti tiada apa-apa. Umpama mencurah air ke daun keladi. Othman masuk ke dalam biliknya, ditatap kembali potret dimana pada hari raya mereka pertama kali di rumah itu. semuanya tampak mempersona dan gembira. Baju raya yang kesemuanya ibu jahit sendiri dan rumah baru yang baru mereka duduki nampak semuanya meriah.
Beberapa tahun yang lalu…
            “Along, cepat dukung adik tu dia dah lari ke tempat lain tu.” Panggil ibu tatkala mereka sudah bersedia di tempat mengambil gambar depan halaman rumahnya.
            Selepas beberapa keping gambar di ambil, mereka semua bangun dan menuju dapur rumah. Kata abah, tiba waktu makan semuanya sudah tidak sabar untuk menikmatinya. Lebih lagi, setiap kali menjelang hari raya ibu akan menyediakan makanan kegemaran kami semua iaitu sambal ayam dan kuah kacang. Walaupun dimakan setiap hari, namun kami tetap menginginkannya.
            Kata-kata yang arwah abah tulis di belakang gambar mengingatkan Othman betapa arwah abah sangat mengingati segala peristiwa yang berlaku pada hari itu. Potret ibu yang sedang memasak juga sempat diambil dan disimpan di dalam album yang ditulis Hari Raya. Kakak kedua pula ketika itu sedang mengandung anak kedua juga menolong bersama-sama. Suasana malam raya juga memberikan kenangan kepada Othman.
            “Abang dan kakak akan balik dahulu. Jangan ingat bila kami pulang ke sana dah takkan pulang ke sini ya. Keputusan kami tetap sama.” Ulang abang sulung Othman berulang kali. Dia menundukkan wajah. Ibu pula baru sahaja membuka telekung tidak mampu berbuat apa-apa.
            Othman mengangguk dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan abang dan kakaknya. Tiada kata yang mampu diungkap kembali. Hanya segaris senyuman pahit menghantar mereka pulang. Selepas menghantar mereka pulang, Othman pergi ke dapur dan bersiap-siapkan meja untuk makan malam bersama ibu dan abang ketiganya.
            “Samsudin. Mari makan. Adik kamu dah siap sedia makanan. Nanti sejuk pula.”Panggil ibu ketika melihat Othman sedang menyenduk nasi.
            “Ibu, tadi Din bertembung dengan Pak Ali. Dia beritahu dua bulan akan datang, anak dia nak kahwin. Dia jemput kita semua pergi kenduri kahwin.” Tutur Samsudin.
            Ibu menanggukkan kepala dan meminta Othman menambahkan lagi nasi.
            “Alhamdulillah dah lama tak tengok ibu tambah nasi dua kali. Sedap ke saya masak lauk hari ini bu?” Tanya Othman kembali.
            “Mestilah sedap. Lauk kegemaran ibu asam pedas daging tetel. Ada pula sambal belacan dengan ulam-ulaman. Din, tambah nasi lagi. Adik kau memang pandai masak. Kau duduk bujang di Johor ada masak ke atau kau beli di luar saja?” Ibu bertanya lalu mengambil kain pengelap tangan.
            “Kadang-kadang masak dan kadang-kadang beli di luar saja. Kerja mak, mana ada masa nak masak selalu. Tapi kalau balik rumah dapat rasa lauk emak mesti sedap.” Samsudin memandang ke arah emaknya dengan wajah meminta.
            Ibu tersenyum dan menuju ke sinki tetapi dihalang Othman kerana dia tahu ibunya mahu membasuh segala pinggan mangkuk yang digunakan tadi untuk memasak. Othman mengemas segala atas meja sebelum naik ke ruang berehat. Abangnya sudah membawa dulang yang terisi seteko kopi dan sepiring biskut kering untuk dinikmati bersama-sama.
            “Ibu, sepanjang ibu dan Man saja di rumah ada ke orang yang cuba-cuba untuk ganggu ketenteraman tak?” Tanya Samsudin secara tiba-tiba.
            “Tiada pula. Lagipun Man kan ada. Setiap malam sebelum Man tidur dia akan pastikan semua pintu berkunci dan tingkap juga. Kenapa pula kamu tanya ni Din?” Tanya ibu kembali sambil menuang air kopi ke dalam cawannya.
            Samsudin mengangguk kembali. Sewaktu mengambil angin petang selepas menikmati minum petang di kedai hujung kampung, Samsudin berjalan sekeliling kampung. Samsudin bertemu dengan Pak Ali, lalu Pak Ali memanggil untuk menaiki motor bersama-sama. Pada awalnya Samsudin memilih untuk menolak tetapi setelah diajak berulang kali dia mengalah.
            “Rumah hujung kampung sana dah dimasuki pencuri. Pak Ali risau.” Pak Ali memulakan bicara apabila mereka sampai di hadapan rumah. Othman yang ke bandar masih belum pulang. Ibu di dalam rumah sendirian dengan pantas Samsudin menaiki ke atas rumah untuk mendapati ibunya selamat di dalam rumah. Syukur, ibu baru selesai menunaikan solat Asar.
            Samsudin kembali turun ke halaman rumahnya. Kelihatan Pak Ali sedang duduk di tangga Melaka. Tangga Melaka yang menjadi satu kewajiban jika sesebuah keluarga itu membina sebuah rumah. Tidak kira rumah moden atau rumah tradisional. Sebuah perhiasan rumah yang telah menjadi kepentingan di dalam sebuah pembinaan rumah. Kecantikkan sebuah rumah melayu Melaka ada ukiran di sekeliling dinding dan juga tangga. 
            “Din, rumah kau yang depan ini masa arwah abah kau buat ke kau baru buat?” Tanya Pak Ali lalu bangun dan berjalan ke sebelah kanan.
            “Rumah lama Pak Ali. Arwah abah tinggalkan rumah ni dalam keadaan baru lagi.”
Jawab Samsudin dan mengikut Pak Ali ke belakang.
            “Kau tahu kenapa rumah melayu Melaka ada ciri-ciri yang istimewa?”
            Samsudin kehairanan memandang ke arah Pak Ali. Hal ini kerana, semasa dia baru sampai di halaman rumah mereka berbincang hal lain dan kali ini berbincang hal lain. Dek kerana tidak mahu membuat Pak Ali tersinggung, dia segera mengikut Pak Ali ke bahagian belakang rumah.
            “Sebab ada tiang dan tangga Melaka yang unik kan?” Jawab Samsudin dengan bersungguh-sungguh.
            “Din ohh Din…” Panggil ibu dari ruang dapur rumahnya. Dia terus masuk ke dalam rumah.
            “Ya ibu.” Di dalam fikiran Samsudin yang ada apa-apa berlaku rupanya ibu sudah menyediakan air untuk diminum bersama-sama dengan Pak Ali.
            Othman pulang dari Melaka. Dia hanya berjalan kaki untuk sampai ke bandar Melaka. di tangannya menjinjit dua buah beg plastik berwarna merah pekat. Othman masuk ke ruang dapur dan terkejut apabila terlihat Pak Ali sedang duduk bersama-sama. Selepas itu dia ikut serta dengan mereka. Dia mengeluarkan mee rojak yang dibeli dari kedai makan di Kampung Jawa.
            “Makanlah Pak Ali. Saya beli di kedai makan kesukaan saya. Saya sudah jamah di sana. Dah rezeki Pak Ali untuk rasa.” Panggil Othman dan menyuakan pinggan kecil kepada Pak Ali.
            “Ini makanan kegemaran Pak Ali. Kalau setiap kali pergi ke Kampung Jawa teman isteri Pak Ali membeli emas mesti singgah di sini. Namun, sejak ada masalah duit kami sudah jarang ke sana.” Ujar Pak Ali lalu menghabiskan sepinggan mee rojak lalu meneguk air kopi yang masih bersisa. Othman dan Samsudin hanya memandang ragam Pak Ali.
            “Along, kalau betullah Othman tidak mahu menjual tanah di hujung kampung macam mana? Mana nak dapat duit? Anak-anak saya nak masuk sekolah tahun depan.” Beritahu Zaiton ketika mereka berdua berjumpa di sebuah restoran berdekatan rumah mereka.
            “Along tahu. Sebab itu kita kena paksa juga mereka segera jual tanah itu. Tambahan lagi, Tauke Lim sudah bersungguh mahukan tanah tersebut. Katanya mahu naikkan bangunan tinggi.” Terang Zainal sambil menyedut air milo ais sehingga habis.
            Zaiton membetulkan tudungnya yang sedikit senget itu dengan cermat. Bekerja sebagai seorang kerani menjadikan dia harus bergaya dengan lebih kemas. Di dalam beg tangannya telah terisi buku nota berwarna coklat. Dicapainya dengan cermat. Lalu dia mengambil sekeping kad berwarna kuning dan diberikan kepada Zainal.
            “Ini kad Encik Zaid. Dia juga boleh menguruskan hal jual beli tanah kita. Kalau abang berminat dia boleh berikan segala nasihat dalam urusan pembelian. Kalau along rasa kita perlu ada khidmat nasihat, telefonlah dia.” Zaiton memberikan kepada Zainal. Dia membaca dan menyimpan di dalam poket baju kemeja yang berwarna hitam itu.
            Mereka bersurai tepat jam 2 petang. Di pejabat, Zainal tertanya-tanya apakah jalan bertemu dengan khidmat nasihat ini akan memberikan keuntungan kepada dia? Dia berfikir sejenak sehingga tidak sedar di hadapannya ada seseorang yang sedang menunggunya. Kawan pejabatnya datang dan mengajak dia ke bilik mesyuarat. Tidak sempat berbuat apa-apa dia terus mencapai buku nota dan juga sebatang pen berwarna hitam di atas mejanya.
            “Ibu. Kalau Man tanya nanti adakah ibu akan marah atau terasa hati dengan Man?” Tanya Othman ketika dia sedang menemani ibunya di halaman rumah. Kawasan Kampung Morten yang majoritinya orang melayu. Di setiap halaman rumah mereka akan dihiasi taman bunga miliknya sendiri. Ibu sangat menyukai menanam bunga orkid, ibu kata bunga orkid bunga yang segar dan sangat susah mahu dijumpai.
            “Apa dia Man? Risau ibu dengarkan pertanyaan kamu. Cakap saja.” Jawab ibu lalu menggunting pokok-pokok yang menjadi pokok tumpangan dalam kawasan pasu.
            “Kalau kami semua setuju untuk jualkan tanah hujung kampung sana macam mana?” Tanya Othman dengan perlahan-lahan.
            Ibu terkejut. Gunting pokok ibu terjatuh ke tanah. Othman menundukkan wajah. Dia hilang kata untuk bertanya lagi. Langit mendung. Awan berarak perlahan-lahan. Namun, jantung Othman berdegup kencang menantikan jawapan yang akan diberikan oleh ibu.
            “Man. Mana pendirian Man selama ini? Ibu hanya bergantung harap pada Man untuk menyokong usaha yang arwah abah selama ini. Tapi.” Ibu tidak menghabiskan ayatnya.
            “Ibu. Maafkan Man. Man hanya bertanya. Kalau ibu betul tak nak kami jual, kami akan pertahankan.” Othman mendekati ibu dan memeluk bahu ibu.
            Ibu menganggukkan kepala tanda memahami apa yang disampaikan oleh Othman. Ibu mengemas dan menyusun pokok dengan cermat. Pokok-pokok bunga ini, adalah hasil dari tanaman arwah suaminya. Ibu hanya menguruskan kesemuanya. Dari segi penjagaan baja pokok dan penyiraman setiap hari. Othman akan selalu ke bandar untuk mencari baja-baja pokok yang sesuai untuk memastikan pokok itu hidup dengan suburnya.
            “Salah satu sebab kakak mahu tanah di hujung kampung itu jual adalah untuk tidak menyusahkan Man pergi menjenguknya setiap hari. Mesti Man penat nak kena bersusah-payah.” Pujuk Zaiton lalu menghirup air kopi susu yang dibuat oleh Othman.
            Othman menggelengkan kepala. Ibu memandang Othman di hadapannya.
            “Kakak, tentang hal menjaga tanah itu bukan satu masalah yang besar. Othman sendiri selama ini menjaga segala apa sahaja yang milik keluarga kita. Isu mengemas atau membersihkan tanaman di kebun itu telah siap sedia Man fikirkan” Othman menunggu kata-kata yang muncul dari mulut kakaknya. Dia tahu kakaknya akan memberi hujahan yang seterusnya. Dia sangat mengenali kakaknya bagaimana. Seorang yang takkan mengalah dan cuba melakukan apa sahaja yang diinginkan.
            “Apa rancangan Man? Mahu kekalkan semak samun di kawasan tanah itu?” Hal itu masih berterusan. Kakak masih dengan pendiriannya untuk mengatakan bahawa Othman akan merasa penat dan segala urusan menjaga akan lepas begitu sahaja selepas tanah tersebut sudah terjual.
            “Ibu juga termasuk dalam pemilikan tanah tersebut. Maka, dipihak ibu masih kekal untuk mengatakan tidak untuk menjual kepada Tauke Lim. Zaiton, usaha arwah abah begitu sahaja kamu lupakan. Tanpa menghargai satu apa pun?” Ibu bertanya kembali. Zaiton kekal dengan jiwanya yang suka memberontak.
            “Lagipun saya tengok Kampung Morten tak ada keistimewaan. Sama sahaja dengan kampung yang lain. Lagipun tanah arwah abah itu di hujung kampung.” Ujar Zaiton lalu bangun menuju ke tingkap untuk memerhatikan di kawasan sekeliling rumah itu.
            “Ibu, sementara ada mahu beli. Jual sahajalah. Kenapa nak tahan-tahan lagi? Kami ni perlukan duit nak bantu anak-anak kami belajar. Ibu pun mesti perlu keluar duit kan?” Tanya Zaiton dengan suara yang nyaring.
            “Zaiton!” Ibu menempik Zaiton. Zaiton terkejut lalu menoleh kepada ibunya.
            “Tidak pernah sekali kamu bersikap sebegini. Hanya kerana sebidang tanah yang tidak seberapa itu kamu sanggup meninggikan suara?”
            Othman dan ibu berlalu meninggalkan Zaiton di ruang tamu. Mereka sudah habis kata sudah penat berbicara. Jalan terbaik untuk sebuah perbincangan yang tiada kesudahan adalah meninggalkan kawasan perbincangan dan menunggu pertemuan yang seterusnya.
            “Kakak, Man dah tetapkan untuk pertemuan kita satu keluarga adalah pada tarikh 20 Mei 2015. Man harap waktu itu kakak, abang long dan abang lang ada untuk selesaikan kemelut yang membelenggu diri kita semua.” Othman menghabiskan ayat dan seraya itu dia keluar dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat Mahgrib dan Isyak berjemaah. Samsudin menaiki motor bersama-sama. Menghulurkan tangan kepada ibu dan kakak langsung berlepas pergi.
20 Mei 2015. Hari Sabtu.
            Sebelum pulang ke bandar, Zaiton menghulurkan tangan kepada ibunya. Tangannya disambut, namun ibu langsung tidak memberikan pandangan kepadanya. Terdetik rasa di hati Othman bahawa ibu benar-benar merasakan sangat jauh hati dengan kelakuan dan kedegilan Zaiton pada hari itu. Zainal hanya mendiamkan diri dan berdiri di sudut paling sempit. Samsudin di tangga rumah merenung hiba.
            Majlis perkahwinan anak Pak Ali meriah. Ditambah lagi dengan kemeriahan orang kampung bekerja keras menolong apa yang perlu. Lembaga Kampung sudah menetapkan seseorang itu harus melakukan kerja apa sehingga selesai. Kerjasama antara semua orang menjadikan sebuah majlis itu tampak tersusun dan kemas. Tambahan lagi dengan adanya ahli jawatankuasa itu memberi kesenangan kepada mereka semua melakukan tugas masing-masing.
            Zaiton dan Zainal pulang ke kampung bersama-sama dengan harapan yang membara. Dia dijemput untuk meraikan majlis perkahwinan anak Pak Ali sedangkan dia tidak mengetahui akan hal itu. kelihatan Othman dan Samsudin berpakaian baju pagoda warna putih serta helaian kain pelikat yang diikat di kepalanya. Mereka terkejut. Mereka tidak menyangka selama ini keharmonian seluruh penduduk kampung ini masih kekal. Di zaman sekarang, keharmonian sesebuah di dalam kampung ini amatlah susah untuk dilihat. Zaiton dan Zainal segera menghabiskan makanan dan pergi berjumpa dengan ibu di kawasan beranda rumah Pak Ali.
            Kumpulan kendarat yang ditubuhkan oleh Hajjah Enchum bt Haji Mahmud telah menguasai seluruh kawasan dapur. Mereka memulakan kerja memasak dan mengemas sejak dari pukul 8 pagi sehingga majlis selesai. Makcik Leha ditugaskan sebagai ketua kepada kumpulan kendarat dan Marhaban ini telah menjalankan tugas dengan baik sekali tanpa ada cacat celanya. Pak Ali tersenyum puas apabila majlis ini mampu merapatkan hubungan yang dahulu pernah terputus akhirnya bersambung kembali.
            “Jumpa ibu di rumah ya. Kamu semua baliklah dulu.” Mereka menganggukkan kepala dan berlalu pergi.
            “Kak ngah, kamu kata kampung ini dah tiada harapan untuk maju dalam keharmonian. Tengoklah tadi, kita yang baru pulang pun dijemput untuk meraikan makan bersama-sama.” Tegur Zainal sebelum menaiki ke beranda rumah. Rumah berkunci dan mereka tiada kunci untuk dibuka. Othman dan Samsudin balik ke rumah dengan berjalan kaki. Ibu masih di sana. Ibu harus menunggu majlisnya selesai.
            “Man dan Din memang ahli jawatankuasa kampung ke?” Tanya Zaiton secara tiba-tiba. Ketika itu Man dan Din sudah bersiap sedia dengan keputusan mereka. Serta keputusan ibu yang dibincangkan semalam.
            “Aah kak. Lagipun, siapa lagi yang nak uruskan semua kalau bukan anak-anak muda ini. Penduduk Kampung Morten semuanya dah berumur kak, sebab itu mereka kekurangan orang muda. Kerja-kerja yang mereka perlu lakukan semuanya berat.” Balas Samsudin lagi.
            “Kenapa selama ini akak tak pernah tahu pun mengenai kesepakatan yang ada di dalam Kampung Morten ini?” Tanya Zaiton kembali.
            “Sebab selama ini akak hanya risaukan tanah arwah abah.” Balas Othman tanpa dia sedar.
            Wajah Zaiton berubah. Dari senyuman yang dia lemparkan kepada semua orang kini wajahnya berubah masam mencuka. Dia menyedari akan perubahan itu segera
            Ibu pulang ke rumah. Othman sudah mengeluarkan geran tanah yang masih di dalam simpanan dia. Samsudin sudah berhenti kerja di Johor Bharu. Dia mahu membantu Othman menguruskan kerja-kerja di Melaka sahaja. Terlalu banyak kerja yang masih belum selesai di Melaka.
            Tauke Lim pulang selepas mendengar perbualan antara Zaiton dan Zainal di depan tanah tersebut. Zainal kusut dan dia meraup muka dengan tenang. Zaiton pula tersenyum dan membalas pandangan Tauke Lim. Mereka pulang dan membawa haluan masing-masing.


Oleh : Zaty Dean

1 comment:

  1. Sangat menarik infonya, teringin nak kesitu, namun asyik tertangguh.

    ReplyDelete